Kemewahan ketua IMF
MENJALANI kehidupan seorang diri di dalam sebuah lokap berukuran empat meter persegi di Rikers Island, New York, Amerika Syarikat walaupun hanya seminggu, merupakan satu perubahan besar kepada Dominique Strauss-Kahn, 62.
Mana tidaknya, dia selama ini menikmati kehidupan kelas atasan. Berdasarkan kontraknya sebagai Pengarah Urusan, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) selama lima tahun sejak tahun 2007, Strauss-Kahn dibayar sebanyak AS$420,930 (RM1.2 juta) setahun.
Jumlah itu lebih besar daripada gaji Presiden Barrack Obama dan apa yang lebih menguntung warga Perancis ini, pendapatan itu tidak dikenakan cukai.
Selain jumlah besar itu, Strauss-Kahn turut menerima elaun tahunan sebanyak AS$79,120 (RM238,500) yang diterima secara bulanan.
Di samping imbuhan tahunan tersebut, Strauss-Kahn juga mendapat layanan istimewa lain seperti elaun hiburan, elaun perjalanan dan penginapan di hotel mewah bersama isteri serta tiket kapal terbang kelas pertama untuk urusan rasmi bersama keluarga, semuanya dibiayai oleh IMF.
Bagi golongan yang mengecam tabung berkenaan, gaji dan butiran elaun tersebut memang sukar difahami.
Menurut mereka, IMF memindahkan beban semua perbelanjaan yang dinikmati Strauss-Kahn itu kepada negara-negara yang meminjam wang daripada IMF.
"Para pembayar cukai di negara-negara peminjam bukan sahaja terpaksa menanggung gaji bos IMF itu tetapi mereka juga perlu membayar kos tersebut dengan kaedah kedua iaitu mereka harus menjalankan dasar yang dituntut IMF, yang sering menyakiti rakyat kelas pertengahan terutamanya golongan sederhana di negara terbabit," kata Peter Cowla dari Bretton Woods Project, sebuah badan pemerhati yang memantau IMF dan Bank Dunia.
Pembayar cukai di kebanyakan negara yang sedang berdepan kemelesetan ekonomi dan terpaksa meminjam dengan badan itu seperti Greece, Ireland, Portugal dan Indonesia berasa terpukul dengan tindakan tidak wajar IMF itu.
Figura dominan
Strauss-Kahn dilaporkan banyak membeli hartanah di Washington dan beberapa tempat lain.
Salah satu hartanah milik lelaki itu, terletak di hujung jalan berdaun rimbun di lingkungan Georgetown di Washington, dianggarkan bernilai AS$4 juta (RM12 juta). Ia didaftar atas nama isteri Strauss-Kahn, Anne Sinclair.
Menurut The New York Times pula, pasangan tersebut turut memiliki dua buah apartmen mewah di Perancis yang nilainya mencecah jutaan dolar serta sebuah rumah di Marrakesh, Maghribi, yang dibeli pada harga AS$700,000 (RM2.1 juta).
Anne Sinclair dahulunya merupakan figura televisyen terkenal Perancis. Dia dilaporkan mewarisi kekayaan daripada datuknya, seorang pedagang kaya dalam bidang karya seni.
Tidak hairanlah jika pemilik nama sebenar Dominique Gaston André Strauss-Kahn ini hidup mewah sebelum dia menerajui IMF lagi, kata jurucakap IMF, William Murray dalam satu kiriman e-mel kepada stesen televisyen Cable News Network (CNN).
Tambah Murray, tidak ada pekerja IMF yang tinggal di Amerika Syarikat (AS) diberi elaun rumah. Sebaliknya, mereka hanya diberikan dana bantuan untuk membayar yuran sekolah anak-anak mereka.
Sesetengah penganalisis berpendapat gaji dan elaun yang diterima Strauss-Kahn adalah wajar dan tidak berlebihan. Menurut penganalisis di New Rules for Global Finance Coalition, John Sewell, dia tidak terkejut dengan gaji yang diterima oleh bekas pengarah urusan itu.
"Saya menganggap ia adalah satu pekerjaan terpenting di dunia dan ia memberi kesan kepada Strauss-Kahn dalam memainkan peranan pentingnya menangani masalah kewangan dunia," ujarnya.
Jelas Sewell lagi, baginya, Strauss-Kahn ialah seorang figura dominan.
Porsche
"Dia telah mengubah IMF. Semasa dia menyertai IMF, ia adalah sebuah dana kewangan yang tidak relevan.
"Ketika itu, seorang pun tidak mahu meminjam daripada IMF dan dia telah meyuntik tranformasi drastik. Jadi, tidak salah dia dibayar seperti itu.
"Mungkin anda menganggap jumlah itu besar namun apabila dibandingkan dengan ahli-ahli perbankan di Wall Street, jumlah itu sebenarnya kecil," tambahnya.
Dihujani pelbagai tanggapan negatif mengenai gaya hidupnya yang serba mewah, Strauss-Kahn berjuang untuk melawan persepsi tersebut.
Bahkan sebelum dikaitkan dengan satu skandal seks di New York awal bulan ini, foto Strauss-Kahn memasuki sebuah kereta Porsche berharga AS$90,000 (RM271,000) sempat dirakam.
Ia memberi peluang kepada pengkritik untuk menggelarnya sebagai 'sosialis kaviar' walaupun tidak dapat dipastikan kereta itu miliknya atau tidak.
Dengan kemewahan yang dimilikinya, Strauss-Kahn seakan tidak memiliki halangan sama sekali untuk memenuhi nafsunya.
Ekoran tindakannya melakukan serangan seksual dan percubaan memperkosa seorang pengemas bilik hotel berusia 32 tahun di sebuah hotel di New York, pada Sabtu minggu lepas, dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy, 10 minit sebelum pesawat yang dinaikinya itu berlepas ke Paris.
Cuba perkosa
Bagaimanapun, dia dibenarkan diikat jamin Khamis lalu oleh hakim sebuah mahkamah sebanyak AS$1 juta (RM3 juta) dan bon sebanyak AS$5 (RM15 juta).
Ikat jamin itu disertakan dengan syarat dia berkurung di dalam sebuah apartmen di New York. Selain itu, seorang pengawal bersenjata akan ditempatkan di apartmen tersebut manakala Strauss-Kahn perlu memakai alat pengawasan elektronik.
Meletakkan jawatannya Rabu lalu, lelaki berketurunan Yahudi itu turut disabitkan dengan tujuh tuduhan lain berhubung serangan seksual tersebut.
Menurut dakwaan pengemas bilik berkenaan, Strauss-Kahn telah menariknya ke bilik penginapannya sebelum memaksa dia melakukan seks oral dan cuba menanggalkan seluar dalamnya.
Skandal seks ini bukan sahaja mencalarkan imej IMF, sebuah agensi antarabangsa yang menyelia sistem kewangan dunia dan memberi bantuan kewangan dan teknikal kepada negara anggota.
Sebaliknya, itu turut memberi kesan kepada karier politik Strauss-Kahn yang merupakan calon presiden yang akan bertanding mewakili Parti Sosialis dalam pilihan raya Presiden Perancis April tahun depan menentang Presiden Nicholas Sarkozy.
Sebagai mantan profesor ekonomi di Institut Pengajian Politik Paris, dia juga bergabung dengan Parti Sosialis tahun 1976 sebelum dilantik menjadi anggota parlimen tahun 1986 mewakili daerah Val-d'Oise, utara Paris.
Dalam masa yang sama
Greece jual pulau bayar hutang IMF
NAMA IMF di Malaysia hangat diperkatakan pada 1997 hingga 1998, tahun di mana banyak negara di Asia mengalami kegawatan ekonomi.
Pada masa itu, agensi kewangan berkenaan tampil untuk memberi bantuan berbilion dolar kepada negara seperti Korea Selatan, Indonesia dan Thailand dengan harapan dapat menyelesaikan masalah mereka.
Misi utamanya ialah untuk memberi bantuan kewangan kepada negara yang mengalami krisis kewangan atau penurunan nilai mata wang secara mengejut.
Bagaimanapun, Malaysia tidak berminat untuk meminjam daripada IMF kerana tidak mahu badan itu campur tangan dalam dasar-dasar ekonomi negara.
Lagipun, sejak ditubuhkan pada tahun 1945, jarang negara yang mendapat bantuan IMF mampu keluar daripada kepompong kemiskinan atau masalah yang membelenggu mereka.
Sebaliknya, status quo yang mencerminkan negara kaya bertambah kaya dan negara miskin semakin tersepit lebih jelas.
Dikuasai oleh negara-negara kaya termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, Britain, Perancis, Itali dan Kanada, mereka dikatakan mempunyai hak dalam menguruskan dana IMF.
Malah, menurut laporan akhbar sebelum ini, mereka mempunyai hak suara dalam semua proses membuat cadangan dan keputusan penting.
Dalam sisi yang lain, selepas gawat melanda Asia pada 1998 dan AS pula dilanda masalah sama 10 tahun selepas itu, kini negara-negara Eropah berdepan dengan kemelut ekonomi yang meruncing.
Bermula dengan Greece, negara yang indah dengan pulau dan penempatan persisiran laut itu menjadi negara pertama di Eropah yang menerima pinjaman sebanyak AS$155 bilion (RM333.5 bilion), diikuti Ireland dan Portugal.
Lantaran gawat juga, pemerintah Greece mula menjual pulau-pulau di negara itu sejak tahun lalu untuk membayar balik hutang negara yang mencecah puluhan bilion euro.
Turut dijual ialah tanah milik negara di Pulau Mykonos, destinasi paling popular di Greece. Semuanya sebagai usaha mengumpul modal untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan mewah.
Usaha itu terpaksa diambil selepas negara berkenaan semakin terdesak mengumpul dana setelah menerima pakej penyelamatan IMF.
p/s: Alhamdulillah sbb pemimpin malaysia masa ekonomi gawat dulu tak pinjam duit dari IMF. Moralnya, never ever pinjam duit dari IMF!
No comments:
Post a Comment