Monday, April 18, 2011

Buah hidangan pemula



TIDAK suka buah-buahan? Malas membeli dan jarang sekali menu buah-buahan ada dalam hidangan di rumah.
Buah-buahan pun hanya disentuh ketika dijamu orang lain atau ketika menikmati hidangan bufet. 
Memang sangat rugi jika tidak mengambil kesempatan terhadap kelebihan buah yang begitu banyak sekali khasiatnya. Bukan itu sahaja, buah sering dikatakan pembantu yang baik dalam mengekang obesiti daripada menimpa diri manusia.

Gaya hidup sihat bukan hanya dikaitkan dengan tabiat rajin bersenam tetapi juga mengamalkan pemakanan berhemah.

Buah-buahan elok dimakan sebelum nasi kerana selain khasiat buah dapat membantu penghadaman, ia juga membuatkan kita terasa penuh perut dan mengelakkan kita terlebih makan selepas itu.

Jadi, budaya menjadikan buah sebagai pencuci mulut dan dihidang selepas habis makan harus dibuang sebaliknya jadikan ia sebagai hidangan pemula.

Kebanyakan buah-buahan mengandungi lemak yang rendah dan membekalkan pelbagai jenis zat seperti vitamin A dan C, asid folik, zat besi serta kalsium.

Buahan-buahan juga berserat tinggi yang membantu dalam mengelakkan masalah sembelit. Ia bukan saja mudah disediakan malah mudah dihadam.

Sebenarnya ramai yang mengetahui kelebihan yang ada pada buah-buahan tetapi tidak berdisiplin mengambilnya.

Marilah melatih diri supaya menyukai buah dan memakannya secara rutin. Tanamkan azam supaya buah sentiasa ada dalam menu makan setiap kali dan sangat elok dijadikan kudapan ketika menunggu waktu makan utama.

  • Pastikan buah ada di dalam pembelian barang dapur setiap minggu. 

  • Beli pelbagai jenis buah supaya tidak mudah jemu. Campurkan buah yang disukai dan tidak disukai supaya ia dapat dimakan bersama-sama. 

  • Bawa buah-buahan ke pejabat sebagai bekalan supaya mudah menjadi kudapan. 

  • Jadikan buah sebagai snek ketika menonton televisyen ataupun menonton wayang. 

  • Ketika bosan melalui kesesakan jalan raya, makan buah seperti campuran hirisan mangga dan jambu, bukannya snek tidak berkhasiat yang banyak perasa makanan. 

  • Sekiranya anda berpuasa sunat Isnin dan Khamis, latih diri berbuka dengan buah-buahan dan segelas air, kemudian terus bersolat Maghrib. Anda boleh lihat walaupun hanya buah yang dimakan, anda sudah boleh berasa kenyang. 

  • Sekiranya anda tidak menyukai sesuatu buah walaupun buah itu berkhasiat tinggi contohnya betik dan pisang, cuba memakan dengan cara mengisarnya. Dengan menjadikannya jus, anda tidak perlu melalui proses mengunyah. 

  • Menjadikan buah sebagai jus adalah proses cepat dan mudah bagi mengambil buah. 

  • Sekiranya mengadakan majlis pastikan salad buah-buahan menjadi menu utama supaya anda dapat menggalakkan pemakanan buah bersama kawan dan keluarga. 

  • Walaupun buah berkhasiat tinggi, anda tetap tidak boleh memakannya secara berlebihan. Makan apa saja pun perlu bersederhana dan tidak melampau. Sekiranya anda berpenyakit terutama kencing manis, pastikan mendapat nasihat doktor sebelum memakan buah kerana ia mungkin memudaratkan.





  • Resipi salad buah-buahan (sesuai untuk enam tetamu)

    Bahan:

    2 biji epal hijau (dipotong dadu)
    2 biji epal merah (dipotong dadu)
    1/2 kilo anggur merah
    1/2 kilo anggur hijau
    2 biji mangga (dipotong dadu)
    1 nanas (dipotong kiub)
    3 biji belimbing besi (dipotong kiub)
    1/2 biji tembikai susu (dipotong kiub)
    3 cawan yogurt (perisa yang disukai)

    Cara penyediaan:
    Semua buah-buahan digaul dengan yogurt dan disimpan di dalam peti sejuk. Hidang setelah tetamu datang dan makan bersama-sama.



  • Sumber
  • No comments:

    Post a Comment

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...